Cara Bermain Gasing

 Gasing dimainkan dengan dua cara iaitu sebagai gasing pangkah atau gasing uri.




Gasing Pangkah
Gasing Uri

     

                 

  • Gasing Pangkah
Gasing pangkah dimainkan untuk mengetuk gasing pihak lawan dan dimainkan oleh dua buah kumpulan.Setiap kumpulan terdiri daripada dua hingga lima orang. Sebelum permainan dimulakan, mereka akan beradu kekuatan dahulu. Pertandingan uri akan dibuat untuk memilih kumpulan memangkah dan kumpulan menanti. Gasing kumpulan yang berpusing lebih lama akan menjadi kumpulan memangkah manakala kumpulan yang kedua akan menjadi kumpulan menanti.

Kumpulan memangkah akan memangkah gasing kumpulan menanti. Tujuannya adalah untuk memecahkan gasing pihak lawan atau paling tidak, dapat menghentikan gasing pihak lawan.Tetapi jika  gasing kumpulan menanti masih berpusing, jong cokok akan digunakan. Jong cokok diperbuat daripada kayu dan agak leper. Gasing yang masih berpusing akan dicokok ke permukaan  jong dan jika gasing pihak menanti lebih lama berpusing, kumpulan memangkah akan bertukar menjadi kumpulan menanti dan begitulah sebaliknya.


  • Gasing Uri
Gasing uri dipertandingkan untuk menguji ketahanan gasing berpusing. Pemenang akan diadili berdasarkan jangka masa gasing dapat berpusing. Gasing yang mampu berpusing lama dikira sebagai pemenang pertandingan. Biasanya gasing mampu berpusing lebih daripada satu jam.

          

Terdapat lima langkah utama dalam permainan gasing, iaitu melilit tali, melilit gasing, memusing gasing, memangkah dan mengangkat gasing.


1. Melilit tali

     


Melilit tali merupakan langkah yang paling penting. Tali yang tidak diikat dengan kemas akan terurai dan berkemungkinan gasing tidak dapat berpusing dengan ligat. Terdapat dua cara melilit tali iaitu, melilit di lengan dan melilit di ajri kelingking



              
2. Melilit gasing



Lilitan gasing akan dibuat pada bahagian leher gasing. Gasing boleh dililit menggunakan dua cara, sama ada dililit pada bahagian lengan dan kemudian dililit pada gasing ataupun melilit tali pada pokok dan kemudian dililit pada gasing.

             


3. Memusing gasing


    


Biasanya pemain gasing mempraktikkan gaya permainan secara pusingan sorong tarik atau pusingan sentap. Bagi pusingan sorong dan tarik, gasing perlu sentiasa berada dalam keadaan mengiring. Pemain akan menumpukan perhatian pada sasaran di hadapan dan badan dibongkokkan kira-kira 45 darjah. Gasing akan diayunkan dan semasa ayunan dibuat, gasing akan ditegakkan. Pusingan secara sentap pula dilakukan untuk menghasilkan pusingan yang ligat. Pemain akan berdiri dalam keadaan tegak dengan tangan yang memegang gasing menghala ke atas. Tangan pemain berada kira-kira 30 darjah dari paras lengan. Ketika gasing diayunkan, pemain akan menyentap sedikit tali supaya gasing menjadi lebih ligat dan mampu berpusing lama.


4. Memangkah gasing




 Pemain yang ingin memangkah gasing pihak lawan, perlu menumpukan perhatian tepat mengenai sasaran supaya gasing dapat berpusing   dengan lama dan menghasilkan uri yang ligat. Terdapat empat gaya ketika memangkah, iaitu pangkah totok, pangkah hentak, pangkah   layang, dan pangkah tebang.


5. Mengangkat gasing




Gasing akan diangkat ketika masih berpusing. Tujuannya adalah untuk memastikan pusingan gasing dapat bertahan dengan lebih lama. Semasa gasing masih ligat berpusing, pemain akan cuba mengangkat gasing dan memastikan gasing tersebut tidak berhenti ketika diangkat. Sebelum gasing diangkat, pemain terlebih dahulu menentukan liuk gasing. Liuk gasing adalah pusingan terendah bahagian patak dengan bumi. Arah pusingan badan juga perlu ditentukan untuk disesuaikan dengan arah pusingan gasing. Gasing akan diangkat menggunakan tali dan cokok. Untuk memastikan gasing berpusing ligat, mengangkat gasing perlu dibuat berhati-hati dan gasing perlu berada dalam keadaan tegak serta tali yang digunakan perlu tegang.
 









          

Comments