Jenis-Jenis Gasing Di Malaysia



Jenis Jenis Gasing~


Gasing Tanjung 

 

Gasing tanjung merupakan gasing yang sering di mainkan di Muar, Johor. Ia dimainkan dengan setiap pemain bergilir-gilir menjadi pengacau dan pemangkah. Di negeri Selangor gasing ini dinamakan gasing labu lemak.Gasing tanjung biasanya diperbuat daripada kayu keranji, kempas, cengal dan merbau. Biasanya gasing tanjung berbentuk buah berembang, dengan berat sekitar 0.6 kg. Ia mempunyai lilitan sekitar 40 cm dengan ketinggian sekitar 10 cm. 


Gasing Uri


Gasing uri merupakan sejenis gasing yang popular di negeri Kelantan. Gasing uri mempunyai badan asas yang kecil sahaja dan dililiti dengan simpai. Gasing ini di simpai dengan menggunakan timah, besi, atau plumbum. Jika simpai diperbuat daripada timah, ia digunakan untuk memangkah. Gasing ini kecil tetapi berat.Gasing uri mempunyai bentuk yang rendah dan agak leper dengan berat sekitar 6 kg. gasing uri mempunyai lilitan sekitar 60 cm dengan ketinggian 8 cm. 


Gasing Leper Kelantan


Gasing leper Kelantan merupakan sejenis gasing yang sering dimainkan di Kelantan. Ia biasanya dimainkan menurut lama tempoh ia berputar.Gasing leper kelantan merupakan sejenis gasing yang berbentuk rendah seperti piring dengan berat sekitar 8 kg. Ia mempunyai lilitan sekitar 48 cm dengan ketinggian sekitar 6 cm. Jenis ini hanya terdapat di Kelantan dan dimainkan oleh segelintir pemain tradisional. Gasing ini disimpai berat dan itulah sebabnya ia mampu berpusing ligat dan lama. Simpaian gasing ini meliputi 60% berat asal gasing ini. Sehingga kini ia masih dimainkan dan banyak terdapat dalam pasaran, tetapi harganya agak mahal.


Gasing Toyol


Gasing Toyol merupakan sejenis gasing yang berbentuk tinggi seperti berembang dengan berat sekitar 0.6 kg. Gasing toyol mempunyai lilitan sekitar 36 cm dengan ketinggian sekitar 12 cm. Gasing Toyol banyak dimainkan di Melaka.Seperti juga toyol yang sering mengganggu, mengacau dan mencuri, begitu jugalah pusingan gasing ini yang digunakan untuk mengganggu, mengacau, mencuri ruang masa dan mudah bergesel dengan gasing lain. Ketika dalam permainan, gasing toyol mestilah dipangkah dahulu, jika tidak ia akan mengganggu gasing-gasing lain.Pada masa kini, pemain gasing di Selangor dan Negeri Sembilan mula menggunakannya sebagai pengacau.


Gasing Begelan


Gasing Begelan merupakan sejenis gasing yang berbentuk rendah seperti piring dengan berat sekitar 0.5 kg. Gasing begelan mempunyai lilitan sekitar 30 cm dengan ketinggian sekitar 8 cm.Gasing ini merupakan gasing Jawa dan merupakan bentuk asas gasing leper Johor dan gasing uri. Ia diperbuat daripada kayu jenis ringan seperti leban atau gelam tetapi telah disimpai dengan menggunakan keluli. Gasing jenis ini juga terdapat di Sabah dan Brunei. Selain digunakan untuk memusing, ia juga boleh digunakan untuk memangkah. Bagi pemain Johor, gasing ini hanya digunakan untuk bermain dalam gelanggang yang becak sahaja.


Comments